KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menasihati pelajar yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya terus belajar bersungguh-sungguh.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata kejayaan cemerlang dalam SPM belum tentu menjamin kejayaan cemerlang dalam perjalanan seterusnya jika pelajar leka dibuai mimpi indah dalam mengecapi kejayaan lampau.

 

“Cabaran yang bakal mendatang pasti lebih besar daripada yang telah berjaya anda tempuhi.”Saya akan merasa amat kecewa jika anda yang telah saya raikan kejayaannya dengan penghormatan dan kegembiraan hari ini, menempuh kegagalan dalam pelajaran seterusnya apatah lagi kegagalan dalam kehidupan di masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Cemerlang SPM 2010 dan sempena lawatan rasminya ke Lembaga Peperiksaan di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, di samping kejayaan yang diraih, pelajar cemerlang itu seharusnya sedar bahawa mereka juga adalah aset negara yang sangat berharga.

“Di bahu mereka ini terpikul tanggungjawab besar untuk terus membantu negara tercinta menjadi negara maju menjelang 2020,” katanya.

Muhyiddin berkata, murid cemerlang bukan sahaja bermaksud cemerlang dalam akademik semata-mata tetapi juga bermaksud cemerlang dalam pelbagai aspek antaranya sahsiah dan keterampilan diri.
Beliau berkata, murid yang cergas fizikal dan mental amat diperlukan dalam pembinaan sebuah negara bangsa, malah sejarah menunjukkan kekuatan sesuatu bangsa diukur bukan sahaja daripada kekuatan mental semata-mata.

“Gabungan antara kekuatan jasmani, emosi, rohani dan intelek amat diperlukan untuk generasi pewaris bangsa Malaysia tercinta.

“Dengan kecemerlangan dalam pelbagai mata pelajaran SPM yang anda peroleh, anda berpotensi besar menjadi tenaga kerja yang boleh dipasarkan untuk pelbagai bidang pekerjaan,” katanya.

Daripada 41 pelajar cemerlang yang diraikan hari ini, 30 memperoleh pencapaian tertinggi dengan gred A+ bagi semua mata pelajaran yang diduduki, manakala tujuh orang murid cemerlang mewakili pelajar istimewa dan empat orang murid cemerlang mewakili pelajar-pelajar aktif dalam sukan.

Muhammad Putera Farid Iskandar dari Sekolah Menengah Sains Seremban yang mendapat 10 A+, berkata di samping membahagikan masa antara belajar dan riadah, beliau sentiasa mengingatkan diri akan tujuan sebenar belajar supaya tidak lalai.

Bagi Tan Hsi Theng dari Sekolah Sukan Bukit Jalil pula, kesibukannya mewakili negara ke Sukan SEA di sini dan Sukan Malaysia (SUKMA) mewakili Selangor tahun lepas, bukan penghalang kepada beliau untuk meraih keputusan 6A+ 2A 1A- dan 1B.

“Walaupun masa saya sentiasa penuh, guru kami sentiasa memastikan kami tidak ketinggalan dalam pelajaran,” katanya.

Arjunan a/l Selvamani dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sung Siew, Sandakan, Sabah, pula memenangi anugerah Pelajar Terbaik Akademik dan Kokurikulum 2010, dan berkata beliau tidak kisah untuk menyambung pelajaran di mana sahaja asal dapat berkhidmat kepada negara. – BERNAMA

 

Read more