Dec 28, 2010

Posted by in Berita Menarik, Guru, Ibu Bapa, Pelajar, Sekolah | 0 Comments

Warga SMK Taman SEA Memperbaharui Azam

Beberapa hari lagi, kita akan membuat lambaian selamat tinggal untuk tahun 2010 dan akan membuka suatu lembaran  untuk menyambut tahun baharu 2011. Di ambang peralihan ini, elok kita warga SMK Taman SEA mengimbas kembali serta muhasabah diri akan kejayaan serta kekurangan diri yang kita sudah lalui. Segala kekurangan yang ada pada kita bukanlah satu kelemahan tetapi ambilnya sebagai satu ikhtibar ianya suatu cabaran yang harus dihadapi dengan tenang dan yakin, atasinya dengan penuh hikmah. Justeru disebalik segala kekurangan, ada kejayaan dalam ketenangan dan kewarasan kita untuk mengatasinya.
Segala kejayaan yang kita telah kecapi harus dijadikan kebanggaan dan sebagai dorongan meningkatkan lagi usaha serta komitmen untuk menjayakan  semua aspirasi SMK Taman SEA bagi mendukung visi dan misi yang ditetapkan Kementerian Pelajaran Malaysia. Lantaran itu kita semua dengan penuh iltizam  menjayakan hasrat dan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia bagi meningkatkan kecemerlangan serta memartabatkan pendidikan negara tercinta kita. Sebagai imbasan, usaha padu warga SMK Taman SEA diterjemahkan kejayaan Peperiksaan PMR 2010. Syabas dan tahniah bukan sahaja kepada calon-calon cemerlang tetapi amnya semua warga SMK Taman SEA dengan usaha barisan pentadbir yang berwibawa telah berjaya mencapai keputusan cemerlang PMR.  Peningkatan peratus lulus daripada 90.56% (2009) kepada 91.41%. Warga SMK Taman SEA juga bangga bahawa terdapat 100% kelulusan dalam empat mata pelajaran iaitu Bahasa Inggeris, Sains, Kemahiran Hidup Pilihan I dan Kemahiran Hidup Pilihan II. kejayaan ini milik bersama warga SMK Taman SEA.
Sebagai Warga SMK Taman SEA mari  kita menanam azam  baharu bahawa kita bertekad untuk berusaha lebih gigih tahun 2011.  Sebagai guru  yang berkualiti, kita  akan kekal berkualiti dalam perkhidmatan  demi membawa kecemerlangan akademik dan pembentukan sahsiah murid yang kita sayangi. Warga SMK Taman SEA menelusuri langkah Sub-NKRA  (sekolah berprestasi tinggi) ke arah mengangkat kualiti sekolah-sekolah terbaik bagi menghasilkan pelajar cemerlang bertaraf antarabangsa dan berpersonaliti unggul dalam semua bidang. Komitmen dan iltizam serta semangat juang kita sebagai pendidik tidak pernah luntur, kita yakin akan meningkatkan usaha bagi mencapai aspirasi dan azam baru kita.
Bagi murid SMK Taman SEA, anda harus merasa megah serta harus tanya apa sumbangan yang boleh saya berikan untuk menjayakan aspirasi sekolah yang kita cintai. Azam anda harus tidak berbelah bagi iaitu meningkatkan lagi kecemerlangan sekolah anda yakni SMK Taman SEA. Kejayaan serta kegemilangan sekolah adalah milik anda, kejayaan anda pula adalah milik negara tercinta. Andalah yang akan memacu kegemilangan negara kita nanti.
Ramai orang membeli jamu            
Di bawah pokok cuaca redup
Bersungguh-sungguh mencari ilmu
Ilmu dicari penyuluh hidup    

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2011

About support

has written 623 post in this blog.

Leave a Reply